Berita Terkini

Perlantikan Umar al-Khattab sebagai Khalifah hingga penetapan Kalendar Hijriyyah

Perlantikan Umar r.a menjadi Khalifah

Ketika Abu Bakr as-Siddiq r.a menderita sakit, Umar-lah yang mengganti posisinya sebagai imam shalat kaum Muslimin. Sewaktu sakit, Abu Bakr sempat mewasiatkan jawatan khalifah kepada Umar ibnu al-Khatthab dan orang yang menulis wasiat ini ialah Utsman ibnu Affan r.a. Setelah itu, wasiat tersebut dibacakan di hadapan seluruh kaum Muslimin dan mereka mengakuinya serta tunduk dan mematuhi wasiat tersebut.

Ketika Abu Bakr as-Siddiq wafat pada hari Isnin, setelah maghrib dan dikuburkan pada malam itu juga, bertepatan pada tanggal 21 Jamadil Akhir tahun 13H, Umar al-Khattab r.a menggantikan seluruh tugasnya dengan sebaik-baiknya sebagai Amirul Mu'minin. Beliau lah yang pertama kali digelar Amirul Mu'minin (orang yang pertama kali memanggilnya dengan gelaran tersebut ialah al-Mughirah bin Syu'bah) dan ada yang berpendapat bukan al-Mughirah tetapi orang lain. [1]


Peristiwa tahun 13 H secara global

Pada tahun ini Umar r.a menjawat sebagai Khalifah tepatnya pada hari Selasa, 8 hari terakhir bulan Jamadis Tsaniah. Umar r.a segera melantik Ali ibnu Abi Thalib r.a sebagai Qadhi (Hakim) Madinah, dan Abu Ubaidah Amir ibnu Abdullah ibnu al-Jarrah al-Fihri sebagai pemimpin wilayah Syam menggantikan posisi Khalid ibnu al-Walid al-Makhzumi yang dilucutkan jawatan. Namun tetap dijadikan teman untuk bermesyuarat.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam Tarikh-nya, dan ulama lainnya dari jalur Ulay ibnu ar-Rabah dari Nasyirah ibnu Sumai al-Yazani dia berkata, "Aku mendengar Umar meminta maaf kepada orang-orang yang berada di wilayah Jabiyah di atas budi-bicaranya memecat Khalid al-Walid. Umar berkata, "Aku memerintahkannya untuk mengirimkan harta rampasan perang kepada faqir miskin kaum Muhajirin, namun dia memberikannya kepada orang yang kuat, mulia dan pintar berbicara, kerana itulah aku melantik Abu Ubaidah ibnul Jarrah. [2]

Pada tahun ini, negeri Bushra ditakluki dengan damai, dan negeri ini adalah kota pertama yang ditakluki di wilayah Syam, menurut Saif ibnu Umar serta beberapa orang lainnya pada tahun ini juga Damsyik ditakluki, dan Yazid bin Abi Sufyan diangkat menjadi Gabenor negeri itu. Dialah yang pertama kali diangkat menjadi Wali (Gabenor) kaum Muslimin di negeri Syam.

Menurut sebahagian ahli sejarah, pada tahun ini Umar r.a berangkat menunaikan haji bersama kaum Muslimin. Sementara menurut sumber lainnya, Abdur Rahman bin Auf yang diperintahkan menjadi Amir rombongan jemaah Haji pada tahun tersebut. 


Peristiwa tahun 14 H secara global

Pada tahun ke 14 ini, Umar r.a menyebat anaknya yang bernama Ubaidullah dan kawan-kawan yang ikut bersamanya dalam kes minuman keras. Umar juga menyebat Abu Mihjan ats-Tsaqafi yang berkali-kali meneguk minuman keras, disebat pula bersamanya Rabi'ah bin Umayyah bin Khalaf. [3]

Pada tahun ini juga Sa'ad bin Abi Waqqas singgah di Kufah.

Adapun para gabenor yang diangkat pada tahun ini ialah 'Itab bin Usaid bagi wilayah Makkah, Abu Ubaidah bagi wilayah Syam, Utsman bin Abi al-'Ash (ada yang mengatakan al-'Ala bin Hadhrami) bagi wilayah Bahrain, Sa'ad bagi wilayah Iraq, Hudzaifah bin Mihsan bagi wilayah Oman.


Peristiwa tahun 16 H secara umum

Al-Waqidi berkata, "Pada tahun ini Umar menjadikan daerah ar-Rabadzah sebagai tempat gembala kuda kaum Muslimin, dan pada tahun ini juga Umar mengasingkan Abu Mihjan ats-Tsaqafi ke suatu tempat yang bernama Ba'dhi'. [4]

Pada tahun ini Abdullah bin Umar menikahi Safiyyah binti Abi Ubaid, ayahnya (Abu Ubaid) terbunuh dalam peperangan al-Jisr ketika menjawat sebagai panglima pasukannya. Isteri Abdullah ibnu Umar ini adalah saudara perempuan kepada al-Mukhtar bin Abi Ubaid yang kelak menjawat sebagai Gabenor di Iraq. Dia seorang wanita yang shaleh sementara saudara lelakinya adalah seorang yang jahat.

Pada tahun ini Umar r.a melaksanakan haji bersama kaum Muslimin, dan beliau melantik Zaid bin Tsabit sebagai pengganti (sementara)nya di Madinah.

Gabenor Umar r.a di Makkah ketika itu ialah 'Itab, Abu Ubaidah bagi wilayah Syam, Sa'ad bagi wilayah Iraq, Utsman bin Abi al-'Ash bagi daerah Thaif, Ya'la bin Umayyah bagi wilayah Yaman, al-'Ala bin Hadhrami bagi wilayah Yamamah dan Bahrain, Hudzaifah bin Mihsan bagi wilayah Oman, al-Mughirah bin Syu'bah bagi wilayah Bashrah, Rib'i bin al-Afkal bagi wilayah Mosul,  Iyadh bin Amr al-Asy'ari bagi wilayah Jazirah, wilayah Syam keseluruhannya di bawah pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah.

Al-Waqidi berkata, Pada bulan Rabi'ul Awwal tahun 16 H, Umar memulakan kalendar Hijrah (Hijriyyah). Sebabnya kerana pernah dilaporkan padanya resit hutang seseorang terhadap seorang yang lain yang termaktub di dalamnya bahawa hutang itu akan dibayar pada bulan Sya'ban. Maka Umar r.a bertanya kepadanya, "Sya'ban tahun bila? Tahun ini atau tahun sebelumnya? Atau Sya'ban tahun hadapan?" Akhirnya Umar segera mengumpulkan kaum Muslimin dan berkata, "Buatlah kalendar agar orang tahu bila janji hutang piutangnya akan dibayar dan diterima."

Disebutkan bahawa sebahagian orang mengusulkan kepadanya agar mengikuti kalendar yang dibuat oleh orang-orang Parsi yang dimulai dengan kematian raja mereka. Jika raja mereka binasa maka mereka akan membuat tarikh baru seiring dengan penggantian raja baru. Namun ramai yang tidak sepakat dalam usul ini. Ada pula yang mengusulkan agar dimulai tarikh dengan mengikuti kalendar Romawi yang dimulai sejak zaman Alexander. Namun ramai yang tidak menyetujui usul ini. Ada yang mengusulkan memulakan kalendar sejak lahirnya Rasulullah S.a.w, pendapat lain dimulai sejak Rasulullah S.a.w diutuskan (sebagai Rasul). Ali r.a mengusulkan agar kalendar dimulai dengan Hijrah Rasulullah S.a.w. Dan awal bulan dimulai dari bulan Muharram, kerana itu lebih sesuai, hingga tidak terjadi pertentangan, sebab bulan Muharram adalah awal bulan Arab.

Pada tahun ini Mariyah al-Qibtiyyah r.a, ibu kepada Ibrahim bin Rasulullah S.a.w wafat, tepatnya pada bulan Muharram, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Waqidi, Ibnu Jarir dan lain-lain. Umar r.a yang bertindak sebagai imam menshalatkan jenazahnya. Dia dikuburkan di perkuburan Baqi'.


1 - Sila rujuk Thabaqat ibnu Sa'ad, 3/281.
2 - At-Tarikh al-Kabir Kitab al-Kuna hlm. 54, Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnad-nya 3/476, dan at-Thabrani dalam Al-Mu'jam al-Kabir, 22/298, jalan cerita yang semaksud dengan ini. Al-Haitsami berkata dalam Majma' az-Zawaid, 9/350. Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Thabrani dan para perawi yang terdapat dalam jalan mereka adalah "Tsiqah".
3 - At-Thabari menyebutkan hal yang serupa dalam Tarikh-nya, 3/597 tanpa sanad.
4 - Ba'dhi' adalah sebuah pulau di laut Yaman. (Yaqut, Op cit 1/324)


[Imam Ibnu Katsir - Al-Bidayah wan Nihayah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (55) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (334) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.